PERSONALITI PENSYARAH DALAM PKA

Penyelaras baru PKA ialah Puan Aida Mustapha, pensyarah BEL bagi menggantikan Puan Haslenna Hamdan yang telah memegang jawatan Koordinator DIB/PraPerdagangan. Puan Aida telah bersama PKA sejak PKA mula ditubuhkan pada tahun 2006. Selain Puan Aida, Puan Tuan Sarifah Aini Syed Ahmad (kini KP TESL), Puan Haslenna, Puan Rosliza Ghazali dan Puan Zuraini Mat Issa (kini KP DCA/DFSM) telah bersama PKA sejak dari awal penubuhannya lagi. Puan Zuraini merupakan Penyelaras PKA pertama setelah Program Bimbingan Belajar dibubarkan. Penyelaras PKA kemudiannya diganti oleh Puan Haslenna setelah Puan Zuraini cuti tanpa gaji dan seterusnya cuti sabatikal selama setahun.

AJK-AJK lain yang tidak kurang lamanya bersama PKA ialah Cik Nor Zaini Zainal Abidin (DPA), En. Aziz Mohd Aris (DEE), Cik Jannah Munirah (FPP) dan En. Che Hamdan (DPA). AJK PKA yang baru pula ialah Puan Siti Asmah (BAHASA), Cik Suhaily Maizan, Cik Nur Hafizah (BAHASA) dan juga En Jeffry Alias (OM). Bekas AJK PKA yang telah bersama-sama keluarga PKA sebelum ini ialah En Ahmad Faiz Yaacob (KP DPA), Tuan Haji Zainuddin Zakaria (cuti belajar), Cik Yaumee (Peg Dokumentasi Unit Kualiti), Puan Noor Aileen Ibrahim (kini di UiTM Perak), En Goh Ying Soon dan Cik Suhaiza (kini di Australia untuk sarjananya). Terima kasih banyak-banyak kepada mereka ini di atas sumbangan tenaga dan idea sepanjang bersama keluarga PKA. Tidak dilupakan buat ex-staf PKA, Cik Sakinah Jusoh (SKP) yang sungguh pro-aktif dan cekap di dalam menjalankan tugas. Pemergian mu dikenang hingga kini dan kami merinduinya. Semoga berbahagia di tempat baru.
KELAB CERLANG adalah kelab yang ditubuhkan untuk mengumpulkan pelajar-pelajar Anugerah Dekan ATAU yang mempunyai keputusan yang baik untuk bersama-sama menggerakkan PKA. Mereka turut sama merangka dan merancang aktiviti PKA. Selain bertindak sebagai tutor dan menjayakan program PKA yang dinamakan sebagai Program Tutor Muda, mereka juga turut terlibat di dalam aktiviti Pemantapan pelajar-pelajar yang mempunyai masalah akademik di peringkat kampus.

Sehingga ke tarikh hari ini, PKA dan Kelab Cerlang telah merangka banyak aktiviti bercorak khidmat masyarakat. Tidak dilupakan aktiviti kerohanian (DENGARLAH NASIHAT AGAMA) yang bertindak untuk memberi garis panduan untuk kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Ahli-ahli Kelab Cerlang telah terlibat dengan aktiviti tutoring tidak hanya di dalam kampus Dungun, Bukit Besi dan Chendering, tetapi juga di sekolah-sekolah sekitar Dungun. Malah tutor PKA telah mendapat pengiktirafan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di mana YPM telah menaja para tutor PKA untuk menjalankan aktiviti tutoring di sekolah-sekolah terpilih.

Kami berharap ahli Kelab Cerlang dan PKA akan terus berperanan di dalam meningkatkan kualiti pendidikan Malaysia dan juga menjadi sebahagian daripada warga UiTM yang boleh memberi impak kepada masyarakat setempat.

CRASH TUTORING

18 Okt 2008 - Program CRASH TUTORING yang dianjurkan oleh PKA dengan kerjasama HEP telah diadakan khas kepada pelajar-pelajar P1 dan P2, dan juga kepada mana-mana yang mahu mendapatkan khidmat bantuan akademik. Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan telah membekalkan juga pelajar-pelajar 2nd dan 3rd sitting bagi sesuatu subjek untuk turut sama mendapatkan bantuan.

Pada hari tersebut tutor dan pensyarah bersama-sama meluangkan masa untuk membantu tutee. Terima kasih En Fadhil Juperi (bersama isteri dan anak, Farid) yang hadir untuk sesi tutoring, Puan Aida (bersama anak-anak) selaku pengerusi program, Puan Siti Asmah dan seorang lagi pensyarah yang baru (tak ingat nama, sebab baru berkenalan hari tersebut, kiranya hari yang bertuah sebab sempat tambah kenalan baru), yang menawarkan diri untuk mengajar BEL dan juga di atas kehadiran. Juga pada suami tercinta, Adam, kerana sudi menjaga dan melayan kerenah anak-anak walau baru kembali dari KL. Tak lupa buat HEP kerana meluluskan bajet program tersebut dan juga wakil HEP, En. Syam dan En. Mohd Noor. Seharian menunggu kehadiran pelajar-pelajar.

Sambutan yang diberikan tidaklah memberangsangkan sangat, tetapi cukup difahami kerana ini program tutoring besar-besaran PERTAMA yang dilakukan serentak di dalam satu hari. Tambahan pula, pada hari tersebut ada test ko-kurikulum dan juga pelbagai test lain. Lagipun, sebelum ini, sesi tutoring dilakukan secara private di bilik-bilik kuliah, atau bilik gerakan PKA dan dipantau oleh AJK PKA dan Kelab Cerlang. Cadangannya, program ini akan diadakan lagi pada semester hadapan, sebulan sekali. Semoga budaya cintakan ilmu dan perkongsian ilmu akan sebati di dalam diri pelajar-pelajar UiTMT.

PROGRAM MOVING MINDS AND SMART STUDY LEARNING SKILLS

Pada 11 Okt 2008, PKA dengan kerjasama Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan telah menganjurkan program "Moving Minds and Smart Study Learning Skills". Program tersebut telah diadakan di Dewan Bidara, Hotel UiTMT.

Penceramah bagi program tersebut ialah Encik Osman Affan dari Creative Enterprise.

En Osman Affan telah memulakan ceramah beliau dengan menyatakan aspek-aspek penting yang perlu ada pada diri seorang pelajar. Lain-lain topik yang dibincangkan ialah teknik pembelajaran berkesan dan juga teknik kemahiran berkomunikasi.

Kandungan terperinci program ini akan diceritakan kemudian.
Pusat Kecemerlangan Akademik atau lebih dikenali dengan nama PKA di UiTM Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 2006 bagi menggantikan Program Bimbingan Belajar (PBB). PBB merupakan salah satu program yang dirangka bagi membantu pelajar-pelajar yang mempunyai masalah akademik, terutamanya yang mendapat status PERHATIAN (1 atau 2).

Pelbagai program telah dirangka oleh PBB untuk membantu pelajar-pelajar ini. Antaranya program mentor-mentee. Pensyarah bertindak sebagai mentor, manakala menteenya pula adalah pelajar. Mentor perlu mengadakan pertemuan berkala dengan mentee-menteenya. Tujuan utama pertemuan tersebut adalah untuk mengetahui perkembangan pembelajaran mentee. Selain daripada itu, mentor boleh memberi tunjuk ajar akan cara-cara pembelajaran yang berkesan. Kekadang ada mentee yang berkongsi masalah peribadi dengan mentor masing-masing. Dan tentulah, mentor perlu menjaga KERAHSIAAN masalah tersebut.

Namun begitu, hakikatnya, tidak ramai yang menggunakan peluang untuk mempunyai personal coach ini (merujuk kepada mentor). Pelajar-pelajar seakan-akan cuba menjauhkan diri daripada program ini. Mereka seolah-olah cuba menyembunyikan identiti mereka dengan cara mengelakkan diri daripada menggunakan peluang yang diberi. Banyak program yang dijalankan tidak mendapat sambutan. Hanya para mentor yang bersemangat, mentee... hmmmm!!! sungguh menyedihkan!!! Teringat program "Kasih Bertaut" di Awang Beach Resort, Rantau Abang. Bersemangat betul mentor.... bengkel yang dijalankan, peserta di kalangan mentor yang lebih ramai berbanding mentee. Kesian Prof Izzie.... berpenat-lelah menganjurkan program... tapi insya-allah tetap ada ganjarannya di akhirat sana.

Tidak dinafikan juga, ada mentee yang sangat menghargai usaha yang diberi. Mereka tidak miss mengadakan pertemuan dengan mentor mereka. Ada di antara mereka yang boleh bertahan dan melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Didoakan agar mereka akan berjaya DUNIA dan AKHIRAT atas segala usaha yang dilakukan.

Bertitik tolak daripada pengalaman bersama PBB inilah, satu anjakan telah dilakukan. PKA ditubuhkan bagi menggantikan PBB. Ianya tidak hanya membantu pelajar-pelajar bermasalah akademik, tetapi juga mengambil peluang untuk membantu pelajar-pelajar cemerlang beroleh softskills dan memupuk nilai dan etika secara tidak langsung melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Konsep yang diterapkan adalah sebagaimana yang termaktub pada misi dan visi UiTM. Misi dan Visi UiTM telah diterjemahkan di dalam aktiviti PKA. PKA berhasrat untuk membantu UiTM merealisasikan segala impian dengan melahirkan graduan bumiputera profesional yang berdaya saing dan mempunyai nilai dan etika yang murni.

Pelajar-pelajar cemerlang daripada pelbagai bidang telah dikumpulkan di bawah satu bumbung yang dinamakan KELAB CERLANG. Pelajar-pelajar ini bertindak sebagai tutor yang akan membantu mana-mana pelajar yang mahu mendapatkan bantuan akademik, dan tidak hanya tertumpu kepada pelajar-pelajar Perhatian 1 dan 2. PKA yakin, melalui konsep ini, pelajar-pelajar yang bermasalah akademik boleh dibantu dengan cara yang lebih berhemah.

Insya-allah perkembangan PKA akan diceritakan pada masa lain pula.