SEJARAH PKA

Pusat Kecemerlangan Akademik atau lebih dikenali dengan nama PKA di UiTM Terengganu telah ditubuhkan pada tahun 2006 bagi menggantikan Program Bimbingan Belajar (PBB). PBB merupakan salah satu program yang dirangka bagi membantu pelajar-pelajar yang mempunyai masalah akademik, terutamanya yang mendapat status PERHATIAN (1 atau 2).

Pelbagai program telah dirangka oleh PBB untuk membantu pelajar-pelajar ini. Antaranya program mentor-mentee. Pensyarah bertindak sebagai mentor, manakala menteenya pula adalah pelajar. Mentor perlu mengadakan pertemuan berkala dengan mentee-menteenya. Tujuan utama pertemuan tersebut adalah untuk mengetahui perkembangan pembelajaran mentee. Selain daripada itu, mentor boleh memberi tunjuk ajar akan cara-cara pembelajaran yang berkesan. Kekadang ada mentee yang berkongsi masalah peribadi dengan mentor masing-masing. Dan tentulah, mentor perlu menjaga KERAHSIAAN masalah tersebut.

Namun begitu, hakikatnya, tidak ramai yang menggunakan peluang untuk mempunyai personal coach ini (merujuk kepada mentor). Pelajar-pelajar seakan-akan cuba menjauhkan diri daripada program ini. Mereka seolah-olah cuba menyembunyikan identiti mereka dengan cara mengelakkan diri daripada menggunakan peluang yang diberi. Banyak program yang dijalankan tidak mendapat sambutan. Hanya para mentor yang bersemangat, mentee... hmmmm!!! sungguh menyedihkan!!! Teringat program "Kasih Bertaut" di Awang Beach Resort, Rantau Abang. Bersemangat betul mentor.... bengkel yang dijalankan, peserta di kalangan mentor yang lebih ramai berbanding mentee. Kesian Prof Izzie.... berpenat-lelah menganjurkan program... tapi insya-allah tetap ada ganjarannya di akhirat sana.

Tidak dinafikan juga, ada mentee yang sangat menghargai usaha yang diberi. Mereka tidak miss mengadakan pertemuan dengan mentor mereka. Ada di antara mereka yang boleh bertahan dan melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Didoakan agar mereka akan berjaya DUNIA dan AKHIRAT atas segala usaha yang dilakukan.

Bertitik tolak daripada pengalaman bersama PBB inilah, satu anjakan telah dilakukan. PKA ditubuhkan bagi menggantikan PBB. Ianya tidak hanya membantu pelajar-pelajar bermasalah akademik, tetapi juga mengambil peluang untuk membantu pelajar-pelajar cemerlang beroleh softskills dan memupuk nilai dan etika secara tidak langsung melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Konsep yang diterapkan adalah sebagaimana yang termaktub pada misi dan visi UiTM. Misi dan Visi UiTM telah diterjemahkan di dalam aktiviti PKA. PKA berhasrat untuk membantu UiTM merealisasikan segala impian dengan melahirkan graduan bumiputera profesional yang berdaya saing dan mempunyai nilai dan etika yang murni.

Pelajar-pelajar cemerlang daripada pelbagai bidang telah dikumpulkan di bawah satu bumbung yang dinamakan KELAB CERLANG. Pelajar-pelajar ini bertindak sebagai tutor yang akan membantu mana-mana pelajar yang mahu mendapatkan bantuan akademik, dan tidak hanya tertumpu kepada pelajar-pelajar Perhatian 1 dan 2. PKA yakin, melalui konsep ini, pelajar-pelajar yang bermasalah akademik boleh dibantu dengan cara yang lebih berhemah.

Insya-allah perkembangan PKA akan diceritakan pada masa lain pula.

0 comments: